Friday, September 6, 2013

اللهم انصر إجواني مجاهدين في مصر

بسم الله

اللَّهُمَّ انْصُرْ إِجْوَانِيْ مُجَاهِدِيْنَ فِيْ مَصْر
Ya Allah, menangkan saudara-saudaraku yang berjuang di Mesir
Ya Allah, grant victory for my brothers which is fighting at Egypt

Berikut adalah talk Dr. Mazlee di ofis saya
https://archive.org/download/130904001/130904_001.mp3


Berikut adalah dari petikan blog beliau:-
Bahagian Pertama
http://maszleemalik.blogspot.com/2013/08/usaha-mursi-yang-disembunyi-sinar.html
Semenjak penggulingan presiden pilihan rakyat Mesir, Dr Mohamed Mursi pada 3 Julai lepas, lebih 300 nyawa terkorban, lebih 2,000 yang lain cedera, manakala lebih 1,700 individu ditahan tanpa bicara termasuk presiden Mesir yang pertama dipilih secara demokratik.

Bagi ramai pihak di Mesir, mereka melihat konflik berlaku adalah rampasan kuasa pihak tentera yang disokong golongan Tamarrod daripada rakyat Mesir yang telah memberikan legitimasi kekuasaan kepada Mursi dan Kabinet yang dibentuknya.

Bagi pihak tentera dan Tamarrod pula, penggulingan Mursi merupakan satu langkah demi menyelamatkan sistem demokrasi yang telah dicabul oleh Mursi dan kumpulan Ikhwanul Muslimin dengan beberapa tindakan mereka yang telah mencemarkan mandat rakyat kepada mereka.

Maka, untuk menjustifikasikan hujah mereka yang telah menyebabkan perhimpunan kemuncak pada 30 Julai lalu, dua isu utama ditimbulkan, pertamanya kegagalan Mursi untuk memulihkan keadaan sosioekonomi Mesir, dan yang keduanya, usaha licik Mursi dan Ikhwan untuk membolot semua kuasa di Mesir (Ikhwanatu Misr atau mengikhwankan Mesir) untuk menegakkan agenda radikal mereka yang tidak menjaga kepentingan golongan minoriti.

Maka, demi menyelamatkan Mesir dari diperintah oleh golongan radikal, mereka terpaksa keluar beramai-ramai memaksa agar Mursi meletakkan jawatan walaupun setelah memenangi Pilihan Raya Presiden setahun lalu dengan undian hampir 52%, dan walaupun belum cukup tempoh mandat diberikan kepadanya. Persoalannya, apakah benar Mursi gagal dan apakah benar beliau menjadi alat kepada Ikhwan untuk membolot semua kuasa di Mesir?


Gagal pulih ekonomi?

Hakikatnya, Mursi menerima bebanan yang terlalu besar daripada rejim Mubarak untuk diperbaiki. Amat mustahil untuk menyelesaikannya dalam tempoh setahun. Sewaktu mengambil tampuk pemerintahan, Dr Mursi terpaksa menanggung hutang kerajaan Mesir yang lepas dianggarkan sebanyak 1,300 billion Egyptian Pound. Sewaktu Dr Mursi mengambil alih tampuk kepimpinan, seramai lima juta rakyat Mesir tidak memiliki tempat tinggal; kadar rakyat yang keciciran pelajaran melebihi 30 juta orang; tujuh juta ibu tunggal rata-ratanya tidak ada pekerjaan tetap dan mengharapkan sepenuhnya bantuan kerajaan. Ini hanya secebis dari isu sosioekonomi di Mesir, ribuan lagi masalah terpaksa Mursi hadapi dalam menjadikan Mesir negara stabil.

Malangnya, dalam keadaan getir seperti itu, pihak liberal, elitis sekular dan saki-baki rejim Mubarak menangguk di air keruh. Semenjak setahun Mursi dipilih rakyat, golongan pembangkang tidak pula berusaha untuk bersama dengan beliau membangunkan negara, jauh sekali menghargai apa telah beliau dan Kabinetnya lakukan. Apa yang berlaku sepanjang setahun pemerintahan beliau, kumpulan pembangkang hanya berjaya melakukan 50 kempen besar-besaran untuk memburuk-burukkan Mursi, di samping penghinaan dan ejekan setiap hari di media milik mereka.  Dalam tempoh setahun pihak pembangkang mengadakan sebanyak 7,709 protes di seluruh Mesir sehingga merencatkan pembangunan; sebanyak 24 kali seruan untuk perhimpunan sejuta rakyat agar keluar ke jalan mendesak Mursi untuk meletakkan jawatan bermula beberapa minggu selepas Mursi dilantik. Pemimpin dan kerajaan manakah yang boleh bertahan dalam keadaan seperti ini? Hanya kerajaan diktator sahaja mampu mengendalikan kegilaan mereka yang gila kuasa seperti ini. Namun, IM tidak sekali-kali akan menggunakan kuku besi dan juga kuasa diktator, kerana ia bertentangan dengan prinsip asas gerakan tersebut - menentang keganasan dan sistem kuku besi!

Kegagalan pihak Liberal dan Tamarrod secara amnya untuk menerima perbezaan dan menghormati mekanisme demokratik menunjukkan pihak sekular dan liberal di Mesir tidak demokratik. Hal ini jelas terlihat pada perancangan lama dan juga bersepadu mereka untuk menjatuhkan IM dan Mursi semenjak keputusan Pilihan raya Parlimen dan juga semenjak hari pertama Mursi dilantik. Antara hujah mereka, golongan Ikhwanul Muslimin ingin menjadikan Mesir negara teokratik, maka IM berusaha meng’Ikhwan’kan Mesir dengan menguasai kesemua institusi kerajaan. Mereka juga menuduh IM memonopoli penggubalan perlembagaan agar Mesir tidak bersikap sekular, walaupun dalam kumpulan penggubal perlembagaan yang telah dibentuk oleh Parlimen, ia dianggotai oleh semua aliran, termasuk golongan liberal, sekular, Kristian dan sosialis.

Akhirnya, hujah paling ampuh untuk menggulingkan kuasa dengan mengatakan Mursi gagal memulihkan ekonomi Mesir, dan juga tidak mampu memerintah Mesir. Persoalannya, jika Mursi ada kelemahan sekalipun, ia bukanlah alasan kukuh beliau digulingkan sewenang-wenangnya. Hakikatnya, tiada presiden mampu mengubah sebuah negara pasca-revolusi dalam sekelip mata. Persoalan lagi, apakah benar Mursi gagal melakukan apa-apa perubahan untuk menyelamatkan Mesir?


Benarkah Mursi gagal?

Terdapat beberapa mitos berkaitan tempoh pentadbiran Presiden Mursi yang sering dijaja pihak Tamarrod. Antara paling popular ialah keadaan ekonomi Mesir semakin teruk pada zaman Mursi. Hal ini dapat dilihat secara kasar pada krisis bekalan petrol, bahan bakar dan elektrik di seluruh Mesir, terutama di Kaherah. Antara yang sering ditimbulkan juga ialah tahap ekonomi keluarga di Mesir juga semakin parah setelah revolusi dan setelah Mursi menjawat jawatan presiden.

Malangnya, kebanyakan tuduhan ini sama ada tidak berdasarkan bukti dan angka-angka yang rasmi, ataupun ia berdasarkan angka-angka yang dimanipulasi untuk menjustifikasikan tuduhan mereka. Hal ini telah segera dibalas semula oleh pihak kerajaan pimpinan Mursi dan juga mereka yang terlibat. Ini dapat dilihat dalam laman web (http://www.morsifirstyear.com/en/) yang dibangunkan oleh para penyokong Mursi dan juga laporan-laporan dari institusi-institusi kewangan antarabangsa.

Walaupun mewarisi Mesir yang dipenuhi 1001 masalah sosioekonomi, dan beliau juga mengalami pelbagai kesukaran dan halangan,  bagaimanapun, dalam tempoh setahun pentadbirannya, di dalam keadaan penuh kekangan dan kelemahan, beliau berjaya membawa beberapa perubahan dalam pembangunan, ekonomi mahupun keadilan sosial. Antaranya menyediakan peruntukan 100 juta pound Egypt untuk membantu hampir 500,000 ibu tunggal di seluruh Mesir. Pada Julai 2013, 500,000 ibu tunggal tersebut menerima pencen 400 pound Egypt sebulan untuk menyara keluarga mereka. Malangnya, apabila berlaku rampasan kuasa, pembiayaan tersebut dihentikan.

Kerajaan Mursi juga menghapuskan hutang lapuk yang ditanggung 52,200 petani kecil dan susah di pedalaman agar dapat memulakan hidup baru. Dalam sektor kesihatan pula, kerajaan Mursi menyediakan insurans kesihatan untuk 13.2 juta kanak-kanak di seluruh Mesir berjumlah 160 juta Pound Egypt. Manakala 1.2 juta rakyat pula menikmati perkhidmatan kesihatan percuma. Dasar prihatin OKU kerajaan Mursi amat patut diberikan perhatian. Antara langkah- mengurangkan yuran kesihatan di hospital-hospital untuk beli ubat sebanyak 37%, dan potongan tambang tiket keretapi 75% kepada warga OKU. Dasar seumpama ini tidak pernah dikenali pada zaman rejim yang memerintah sebelum Mursi.

Dalam tempoh setahun juga kerajaan pimpinan Mursi berjaya menyediakan sebanyak 45,388 rumah mampu milik untuk rakyat Mesir yang belum memiliki rumah. Seramai 90,000 keluarga juga menikmati skim pinjaman untuk bina rumah sendiri.

Antara usaha kerajaan Mursi untuk merangsang ekonomi Mesir ialah menaikkan gaji kakitangan kerajaan berjumlah 6.4 juta orang. Peruntukan untuk gaji para kakitangan kerajaan dinaikkan dari keseluruhan 122.8 bilion Pound Egypt pada 2011 kepada 172 bilion Pound Egypt untuk tahun-tahun 2013-2014.

Kerajaan Mursi juga telah menyediakan sebanyak 593,000 peluang pekerjaan baru untuk rakyat dengan belanjawan melebihi 3.5 bilion Pound Egypt, dan ini merangkumi 5,611 pekerjaan untuk graduan menganggur. Sepanjang pemerintahan Mursi, negara Mesir telah menyaksikan peningkatan KDNK pada tahap terbaik berbanding tahun-tahun 2010-2011, iaitu purata 2.4% pada 2013 berbanding 1.8% pada 2011 dan 2012.

Malangnya semua pencapaian Mursi ini disembunyikan daripada pengetahuan umum oleh media yang dimiliki oleh saki-baki rejim lama dan juga golongan liberal. Sebaliknya, segala kelemahan yang diwujudkan oleh saki-baki rejim sengaja diperbesar-besarkan agar mengaburi mata awam dan rakyat yang naif serta masyarakat antarabangsa agar membina persepsi bahawa Mursi dan IM gagal memerintah negara. Malang lagi dalam proses memperbodohkan rakyat ini, golongan intelektual, politikus dan elitis sekular Mesir yang anti-Mursi dan anti-IM juga terlibat.
Bahagian Kedua
http://maszleemalik.blogspot.com/2013/08/bahagian-akhir-usaha-mursi-yang.html
Pihak Tamarrod dan media Barat juga sering menggambarkan IM membolot kuasa dan ingin meng’Ikhwan’kan Mesir dengan penguasaan terhadap kesemua institusi politik di Mesir.

Sebagai contohnya, IM memenangi hampir 50 peratus daripada kerusi parlimen, IM juga memenangi majoriti besar daripada Majlis Shura Mesir, IM juga mendominasi ahli majlis penggubalan perlembagaan yang baru, dan paling utama berjaya mendapatkan kerusi presiden untuk akil mereka, iaitu Mursi. IM dan Mursi juga dituduh sebagai tidak bersikap inklusif dan terlalu eksklusif dalam menentukan hala tuju negara tersebut.

Amat pelik alasan yang dikemukakan ini jika dilihat dari sudut sistem demokrasi. Bukankah yang memilih IM adalah rakyat melalui jalan demokrasi yang bersih dan adil? Bukankah itu yang diminta rakyat semasa revolusi 25 Januari 2011?

Bukankah mereka yang dipilih rakyat wajib menjalankan tanggungjawab mereka demi membawa aspirasi rakyat?

Jika ketepikan logik demokrasi pun kita akan dapati tuduhan yang dilemparkan ke atas IM tidak berasas sama sekali. Jika dilihat kepada komposisi gabenor-gabenor yang dilantik, walaupun Mursi berhak meletakkan kesemua gabenor daripada kalangan IM, namun hanya 35 peratus gabenor di seluruh Mesir adalah daripada anggota IM.

Dalam bidang birokrasi pula, hanya 100 orang IM yang terlibat dalam jawatan tertinggi kerajaan. Lebih menarik, dalam Kabinet kerajaan, hanya empat kementerian sahaja dijawat IM, malah jawatan perdana menteri pun diberikan kepada Hesham Qindil,
yang bukan ahli IM.

Berbalik kepada isu inklusif, bukankah sewaktu Mursi memulakan tugasnya sebagai presiden beliau pernah menawarkan timbalan presiden kepada Hamdy Sabahin, tetapi ditolak mentah-mentah oleh Sabahin.

Lebih pelik sejurus selepas beliau menolak jawatan tersebut, beliau mengadakan sidang akhbar mengatakan Mursi dan IM ingin membolot kesemua jawatan penting dalam kerajaan.

Mursi juga pernah menawarkan jawatan yang sama kepada Baradei, tetapi ditolak mentah-mentah oleh al-Baradei.

Begitu juga dengan Majlis penasihat presiden yang telah menyaksikan wajah dari pelbagai kumpulan yang dilantik oleh Mursi dalam pentadbirannya daripada kalangan golongan liberal, Kristian, Salafi dan juga sekular.

Malangnya ada di antara mereka yang menerima, dan ada di antara mereka yang menolak, dan membuat tuduhan IM ingin membolot kuasa.

Bagi pihak berhaluan kiri pula, hujah yang sering digunakan ialah IM adalah pro-AS, neo-liberalisme dan mendukung ideologi kapitalis.

Hubungan rapat Mursi dengan golongan pelabur dan juga ahli perniagaan di Mesir juga dijadikan hujah untuk menolak apa yang mereka label sebagai ‘Islamis neo-Liberal’.

Bagi pihak Mursi, mereka menolak dakwaan tersebut. Menurut mereka, Mursi menjalankan dasar pandang ke timur dan selatan.

Antara negara dilawat Mursi ataupun delegasi rasminya adalah Rusia, China an Brazil. Dapat difahami jika tujuan lawatan mereka untuk mendapatkan pelaburan daripada para pelabur negara-negara tersebut, adalah untuk membangunkan ekonomi Mesir.

Apakah salah bagi sesebuah kerajaan untuk membangunkan ekonomi negaranya dengan menggalakkan pelabur asing datang ke negaranya?

Berbalik kepada hubungan Mursi dengan AS, adalah maklum bahawa Mesir sebagai kuasa politik serantau di Asia barat perlu mengadakan hubungan diplomatik dengan kuasa besar dunia itu.

Malah sesiapapun yang menjadi presiden Mesir mesti mengadakan hubungan dengan AS, namun persoalannya hubungan yang bagaimana?

Amat pelik tatkala kumpulan berhaluan kiri ini giat menuduh IM sebagai pro-AS dan Neo-Liberal, tidakkah mereka memerhatikan pemimpin Tamarrod, al-Baradei, yang terang-terang mengundang Barat, terutamanya AS untuk masuk campur menjatuhkan Mursi?

Lupakah mereka tentang hubungan al-Baradei dengan AS? Lebih ironik lagi adalah kewujudan golongan liberal dan sekular di antara kelompok Tamarrod yang menentang Mursi dan IM dari awal lagi dikenali sebagai penerima dana asing, terutamanya AS.

Malah Parlimen Mesir selepas revolusi 25 Januari di awal pentadbiran mereka telah membuat undang-undang mengekang bantuan dana asing ke Mesir di peringkat individu dan ahli politik serta NGO kerana menyedari bahayanya pengaruh dana asing yang disalurkan melalui gerakan- gerakan tersebut.

Persoalannya, mengapakah kumpulan berhaluan kiri boleh bersama dengan ejen-ejen tersebut untuk bersama-sama menjatuhkan Mursi?

Antara hujah lain yang kerap digunakan oleh kumpulan Tamarrod juga ialah IM mengekang kebebasan sepanjang mereka berkuasa.

Pendakwaan ke atas komedian Bassam Yusuf yang menghina Islam dalam rancangan ‘Talkshow’ beliau, dan juga Tawfiq Ukasya yang telah memfitnah beliau selama tiga jam di media pada 27 Mei 2012 telah dijadikan sebagai contoh.

Agak ironinya hujah ini ialah sepanjang Mursi menjadi presiden selama setahun, Mursi tidak pernah menutup mana-mana stesen TV, radio mahupun akhbar.

Lebih malang lagi selama setahun beliau menjadi presiden, beliau menjadi sasaran kritikan, cemuhan, lawak jenaka, malah fitnah oleh media-media yang rata-ratanya dikuasai oleh penentang IM dan golongan yang anti-Islam.

Malah, mereka bebas bersiaran tanpa sebarang sekatan. Sikap profesional Mursi dan juga keteguhan beliau menjunjung kebebasan media tidak pula mendapat liputan media Barat, mahupun golongan yang memperjuangkan kebebasan media dan hak asasi manusia.

Sepanjang tempoh setahun itu juga, tidak ada seorang pun wartawan atau pengacara ataupun editor akhbar mahupun media yang ditangkap ataupun diseksa tanpa bicara.

Mengenai Bassam Yusuf dan Tawfiq Ukasya pula, kedua-dua mereka telah dihadapkan ke muka pengadilan dan diberikan hak menurut undang-undang dan perlembagaan.

Sebaliknya selepas 30 Jun, stesen tv milik Ikhwan, milik Aljazeera dan milik Salafi telah ditutup. Wartawan ditangkap dan ada yang dibunuh. Ini mengulangi pengalaman di zaman Mubarak.

Malah Mursi membiarkan sahaja pengamal-pengamal media milik liberal dan sekular mengejek, memfitnah dan memburuk-burukkan dirinya dan IM setiap hari sepanjang setahun beliau memerintah.

Tuduhan yang turut dilemparkan juga ialah IM bersikap anti-Kristian, dan Mursi mengamalkan diskriminasi terhadap golongan Koptik.

Sikap yang ditunjukkan oleh golongan Koptik ini merupakan kesan indoktrinisasi berterusan di zaman Mubarak yang sering menakut-nakutkan golongan Koptik terhadap IM.

IM digambarkan sebagai golongan pengganas dan ekstremis. Alasan ini juga ditolak oleh fakta memandangkan di antara kepimpinan parti milik IM, iaitu FJP ada seorang Kristian, iaitu Rafiq Habib.

Presiden Mursi sendiri telah berhasrat melantik wakil wanita Koptik menjadi timbalan presiden sejurus beliau memenangi Pilihan raya Presiden.

Bila berlaku serangan ke atas gereja, Mursi bangkit mengecam dan berpihak kepada gereja. IM sepanjang sejarah mereka tidak pernah bermusuh dengan pihak gereja dan juga tidak pernah membunuh walau seorang pun Kristian.

Kesimpulan yang boleh dibuat mengenai apa yang berlaku di Mesir ialah, Kudeta adalah sesuatu yang telah dirancang untuk menaikkan semula saki-baki rejim Mubarak, mengekang kebangkitan Islamis dan juga menjatuhkan reputasi Islamis sebagai tidak mampu memerintah dan tidak mempunyai kebolehan untuk mentadbir.

Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah pula boleh memberikan markah penuh kepada IM dalam keadaan mereka menjadi mangsa.

Bagi pihak IM, apa yang berlaku sepatutnya menjadi titik tolak untuk mereka melakukan retrospeksi mengenai strategi dan juga langkahlangkah sumbang mereka yang perlu dijauhi untuk menghadapi masa mendatang.

Begitu juga, mereka perlulah mengambil masa untuk membuat anjakan dan penstrukturan semula beberapa langkah strategik dan juga beberapa kandungan dalam doktrin IM yang telah diterjemahkan sepanjang gerak kerja mereka pasca evolusi 25 Januari sehingga membawa kepada kudeta 3 Julai 2013.

No comments:

Post a Comment